Anggota parti dinasihatkan agar tidak membenarkan mana-mana pihak yang tidak berkaitan masuk ke markas masing-masing.
Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata markas yang dibuka perlu sentiasa diawasi dan segala maklumat yang ada tidak akan dibawa keluar.
"Kita harus sentiasa berwaspada kerana kita tidak mahu segala maklumat dan perancangan yang direncanakan diketahui oleh pembangkang," katanya ketika ditemui selepas melawat markas daerah mengundi Gadong dekat sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Datuk Kamarlin Ombi, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun dan Ketua Markas Daerah Mengundi BN Gadong Maaruf Juslim.
Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata amat membimbangkan jika maklumat itu diketahui oleh pembangkang kerana ianya akan diputar belit. Katanya apabila maklumat itu diputar belit sudah tentu ianya akan mengelirukan rakyat "dan akhirnya rakyat dikelirukan oleh pembangkang."
"Kita tidak mahu perkara itu berlaku kerana ketika ini pun pembangkang sudah memutar belit pelbagai fakta dan menabur pembohongan kepada rakyat," katanya.Beliau turut menegaskan bahawa setiap anggota markas perlulah bersikap amanah dan tidak mengamalkan sikap `talam dua muka.'
Katanya dalam mendapatkan maklumat, pembangkang sudah tentu mempergunakan pelbagai cara termasuklah mendapatkan anggota parti yang bersikap `talam dua muka.'Menurutnya anggota inilah yang akan diperguna dan diperalat "dan anggota inilah yang harus kita awasi."
Dalam pada itu Sapawi melahirkan rasa bangga dan berpuas hati dengan markas parti yang telah dibentuk di pusat daerah mengundi dalam Parlimen Sipitang.Katanya markas tersebut telah merangka pelbagai program di mana fokus utama ialah mendekati dan mendengar denyutan nadi rakyat.
"Kita akan terus mendampingi rakyat, menyalurkan fakta yang sebenar dan berusaha memastikan rakyat tidak dikelirukan oleh pembangkang."Apa yang pasti semua markas telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya lagi.
dipetik di sini.