KHAS UNTUK ANAK BANGSA KU

Wednesday, 15 May 2013

AMARAH LIM KIT SIANG SETIAP MALAM

Lim Kit Siang ternyata tidak mampu membendung kemarahannya berikutan kegagalan pakatan pembangkang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO.

Kini boleh dikatakan hampir setiap malam Penasihat DAP itu terpekik terlolong di atas pentas-pentas ceramah bersama sahabat karibnya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dianggap berlaku penyelewengan dan penipuan.

Kita tidak hairan dengan sikap Anwar kerana beliau sememangnya amat kecewa kerana impiannya untuk menjadi Perdana Menteri sudah terkubur. Selama ini Anwar sudah melakukan pelbagai usaha termasuklah memburuk-burukkan Malaysia di luar negara bagi meraih sokongan, tetapi akhirnya impian itu tidak tercapai juga.

Tambahan pula PKR mencatatkan keputusan tidak memberangsangkan. Oleh itu kita boleh fahamlah kenapa Anwar 'meroyan' setiap malam. Tetapi apa yang kita persoalkan sikap Kit Siang. Beliau menjadikan pentas perhimpunan haram untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kata-kata menghina termasuk menggunakan istilah 'syaitan yang dikenali menjadi Perdana Menteri'.

Jika melihat kepada apa yang dinikmati oleh Kit Siang dan DAP, beliau tidak sepatutnya berbuat demikian dan ini menimbulkan persoalan apa lagi yang Penasihat DAP ini mahukan? Tidak cukupkah dengan kejayaan DAP menjadi dominan dalam pakatan pembangkang apabila memenangi 38 kerusi berbanding PKR (28 kerusi) dan Pas (21 kerusi)? Tidakkah beliau berasa puas dengan kejayaan anaknya, Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua? Belum puaskah hatinya apabila melihat calon-calon BN yang diwakili oleh MCA dan Gerakan ditolak hampir secara total oleh masyarakat Cina kerana termakan hasutan politik DAP? Belum puaskah nafsu politik beliau apabila berjaya menumbangkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Parlimen Gelang Patah? Oleh itu apa lagi yang Kit Siang mahu?

Sebelum ini, apabila Utusan Malaysia menyiarkan artikel yang bertajuk 'Apa lagi Cina mahu?' yang sekadar satu pertanyaan berikutan tindakan mereka tidak mengundi BN biar pun telah diberikan pelbagai layanan istimewa oleh parti itu, Kit Siang melenting. Beliau cuba menggambarkan kononnya laporan Utusan Malaysia itu boleh mendatangkan bahaya kepada negara.

Tetapi pernahkah Kit Siang bertanya apakah tindakan beliau sekarang yang bersekongkol bersama Anwar mengadakan perhimpunan haram di sana-sini tidak boleh menggugat keselamatan negara? Tidakkah sebagai seorang yang bertanding dalam pilihan raya sejak tahun 1969, Kit Siang tidak faham undang-undang apabila melanggar perintah polis dalam soal memohon permit mengadakan perhimpunan?

Kenapakah Kit Siang lakukan semua ini? Kenapakah tidak mahu mengikut saluran undang-undang dalam melakukan bantahan? Kenapakah mahu membangkitkan sentimen rakyat dan bersekongkol dengan Anwar yang kemaruk menjadi Perdana Menteri?

Apa lagi Kit Siang mahu? Tidak puas lagikah selama ini ketika kempen pilihan raya berlangsung Kit Siang yang kononnya memperjuangkan demokrasi tulen dan kebebasan bersuara membiarkan pemimpin-pemimpin DAP memaki hamun pemimpin-pemimpin BN? Belum gembirakah lagi beliau apabila DAP berjaya menentang habis-habisan usaha perjuangan Islam oleh Pas termasuk hukum hudud?

Oleh itu kita ingin bertanya apa lagi Kit Siang mahu? Tidakkah beliau terfikir tindakan yang beliau lakukan sekarang khususnya dengan menghina pemimpin-pemimpin UMNO mungkin boleh mendatangkan tindak balas daripada kalangan orang Melayu?

Justeru adalah lebih baik jika Kit Siang tidak terus dilihat bermain api dengan membakar sentimen rakyat untuk memenuhi impian politik pembangkang khususnya DAP dan Anwar. Kalau betul Kit Siang telus dan berjuang atas nama keadilan serta tidak mengiktiraf keputusan PRU-13 maka pastikan semua pemimpin DAP tidak mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua menteri dan Exco Kerajaan Negeri.

Tetapi malangnya keadaan itu tidak berlaku, Kit Siang tersenyum bangga melihat anaknya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas menang dalam pilihan raya yang dianggap oleh beliau berlaku penipuan. Soalnya wajarkah tindakan ini? Kenapakah mengamalkan sikap 'double standard'?

Jadi kita ingin tahu apa lagi Kit Siang mahu kalau sesetengah pemimpin pembangkang khususnya Pas boleh mengiktiraf keputusan pilihan raya, kenapakah DAP tidak boleh? Kenapakah sebahagian pemimpin PKR yang 'kemaruk kuasa' tidak boleh? Apakah mainan sebenar pembangkang khususnya Kit Siang dan DAP dalam soal ini?

Kita memahami DAP mungkin kecewa kerana selama ini mereka sudah 'memperkudakan' PKR dan Pas bagi meraih sokongan Melayu. Mereka berharap melalui cara itu, orang Melayu akan menyokong pembangkang manakala soal pengundi Cina biar mereka uruskan.

Ternyata DAP hanya berjaya mempengaruhi pengundi Cina untuk menyokong perjuangan politik sempit mereka tetapi orang Melayu masih mempunyai kewarasan. Sebahagian besar mereka menolak PKR dan memberi sedikit kemenangan kepada Pas. Orang Melayu masih percaya bahawa ada sesuatu yang tidak kena terhadap keghairahan DAP dalam pilihan raya umum kali ini.

Oleh itu, mereka tetap tidak menyokong DAP biar pun PKR dan Pas sudah menjelajah ke pelosok negara menjaja slogan 'Ini Kalilah' dan 'Ubah'. Mungkin bagi orang Melayu yang taksub kepada PKR dan Pas mereka mengundi kedua-dua parti itu tetapi sekarang mereka sudah faham siapa yang untung. PKR dan Pas menjadi parti yang rugi kerana DAP muncul sebagai parti dominan.

Tetapi malangnya, ketika pemimpin-pemimpin Pas mulai sedar mainan politik DAP ini, ada pula sesetengah pemimpin mereka dan PKR mahu terus bersekongkol dengan parti yang dianggap cauvinis itu untuk menggugat kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO.

Apa pun peringatan perlu diberikan kepada Kit Siang supaya beliau lebih berhati-hati dalam melakukan provokasi melalui ucapan-ucapannya. Jangan sewenang-wenangnya memanggil pemimpin UMNO dengan gelaran yang bukan-bukan seperti syaitan dan sebagainya.

Kit Siang harus ingat jika beliau bersedia untuk melakukan perbuatan berkenaan maka beliau juga perlu bersedia menerima tindak balas daripada penyokong-penyokong UMNO termasuk dipanggil dengan gelaran yang bukan-bukan.



Oleh itu adalah lebih baik jika Kit Siang mencapai cita-cita politik DAP dan pembangkang melalui saluran yang betul melalui petisyen di mahkamah bagi membantah keputusan PRU-13 dan bukannya mencerca serta memaki hamun pemimpin-pemimpin UMNO dan BN sesuka hati di pentas-pentas perhimpunan haram.

Sebagai ahli politik veteran, Kit Siang sepatutnya lebih matang berpolitik dan tidak menggunakan pendekatan yang dilihat bahaya untuk membuat bantahan dengan terlibat dalam perhimpunan haram.

Justeru Kit Siang tidak perlu melenting kalau orang terus bertanya apa yang beliau mahu biar pun berdasarkan corak politik DAP dan kekecewaan Kit Siang kita amat memahami apa yang mereka mahukan di bumi yang pernah bernama Tanah Melayu ini..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...